Friday, February 14, 2014

Artikel : Coretan Falsafah Kehidupan


Bismillah Ar-Rahman, Ar-Rahim.

     Sesungguhnya, segala puji-pujian dipersembah indah kehadapan Allah, Raja yang penuh Rahmat dan Kasih keatas setiap yang dilangit dan dibumi. Kami melahirkan kesyukuran, kami hadiahkan pujian, kami bertawakal, kami patuh, kami taat dan kami berserah seluruhnya diri kami hanya kepada Allah, Pencipta yang penuh keajaiban.

     Tidak kami lupakan, kekasih hati, buah cinta kami, yang penuh keindahan, yang penuh rasa kasih sayang, yang berbahagia, Pesuruh Allah, pembawa berita gembira, Habibi Muhammad ibn Abdullah Al-Mustaffa, Semoga Rahmat Kasih dan Kesejahteraan Allah dilimpahkan keatasnya.

     Alhamdulillah atas nikmat Allah, aku bisa menekan papan kekunci komputer riba untuk mencoret sedikit ukiran kata, sebagai peringatan buat diri yang terlupa. Terutama peringatan kepada peminjam jari-jari yang berlari dipapan ini, moga aku thabat diatas jalan yang benar dan suci.

     Telah lama aku meninggalkan hobi menulis. Rindu bertandang lalu menjemputku mencoret kembali agar hati yang kian gersang kekeringan kembali segar seperti orkid pagi yang dibasahi embun suci. Aku cuba membawa minda keawangan, memikirkan tema penulisan yang mungkin sesuai. Falsafah hidup. Tinggi sungguh tema yang cuba ku rungkaikan. Seperti seorang budak kecil cuba memetik buah dari pohon yang tinggi. Atau seperti semut yang cuba membawa kerikil ditepi jalan. Mungkin sukar, namun aku tertarik untuk mencoret mengenainya.

     Kita semua manusia yang hidup. Disaat ini, anda sedang membaca artikel ini, merupakan bukti yang jelas bahawa anda manusia yang hidup. Sebagai manusia yang hidup, pasti kita tidak ketinggalan untuk merasai berbagai-bagai pengalaman. Kita bangun tidur di pagian, menguyah kudapan yang dipanggil sarapan, berjalan ke setiap destinasi pilihan, membaca setiap ruang akhbar harian, bertemu rakan dan taulan, bergelak tawa keriangan, kadang mungkin menangis kesedihan, kemudian diakhir hari, pulang ke sarang yang dipanggil rumah kediaman. Dan, seperti hari-hari yang lalu, kita menutupi malam dengan tidur yang panjang. Seterusnya? Pusing kembali pita rakaman, dan mainkan semula seperti semalam.

     Pita itu kita mainkan hinggalah tiba disatu masa, ketika mana nyawa mula mengkhianati badan. Disaat kita bakal terpisah dengan rutin harian yang sekian lama diulang tayang. Ketika itu, seolah-olah setiap satu babak kehidupan terpasang dengan pantas dihadapan mata kita. Seolah-olah kita tercari sesuatu. Ya, ketika itu kita mula mencari Tuhan. Cuba untuk menyesali setiap satu perbuatan. Mula untuk menggelar kita hamba Tuhan. Namun, jika benarlah saat itu menjadi permulaan kita mencari Tuhan, kelak kerugianlah kita kekesalan. Firman Allah didalam kitab-Nya yang suci, didalam surah yang disebut An-Nisa, diukiran ayat 17 dan juga 18, ia tercoret lebih kurang begini,


17. Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang Yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
18. dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang Yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya Aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang Yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang Yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.


     Allah, gerunnya hati pabila menghayati butiran kata-kata ini. Kelak ruginya jika ketika kita dikhianati nyawa, ketika ruh seakan tercarit dari isi badan, barulah mulut terketar membisik memanggil nama Tuhan. Alangkah buruk dan busuknya nasib kita jika itu yang berlaku. Alangkah bodohnya jika itu yang mengakhiri hayat kita. Apakah yang bakal terjadi pada kita setelah itu? Siapa lagi yang boleh menghulur tangan membantu? Ketika nyawa direntap kasar mereka yang dipanggil Malaikat. Saat sakaratulmaut memenjarakan jasad yang keletihan. Saat itulah, kelak kita sedari falsafah kehidupan.

     Bukan mudah menafsir kehidupan, namun ia boleh dipermudahkan dengan bekalan Iman. Bukan senang mencari suluhan dilorong hitam, namun ia bisa diterangkan dengan cahaya Al-Quran. Jadi, apalah yang ditunggu wahai teman. Marilah kita kembali kepangkal jalan. Berbaliklah kepada wasiat yang diperturun sejak berzaman. Menuruti setiap satu hukum Tuhan. Mengairi semula nurani yang kering kontang. Mengikis karat-karat hitam yang mengoroti jiwa kehidupan.

     Memang indah mengumpul harta. Mengira setiap kertas wang yang diusaha. Melihat ladang yang tertulis pemiliknya nama kita. Memandu kereta yang mewah dan selesa. Tinggal dirumah mahligai yang dibina. Bunyinya begitu mempesona. Namun, jika tiada Rahmat Allah didalamnya, kelak itu bukan kejayaan yang boleh dibangga. Kerana itu hanya kejayaan duniawi yang tiada hakiki. Itu kejayaan yang boleh datang dan pergi. Itu kejayaan yang bersifat sementara bukan kekal lama. Jika hasil usaha kita diredhai, kelak ketika itulah datangnya ketenangan hati. Tiadalah ketenangan itu didalam harta emas perak yang ditempa, kerana ketenangan hanya datang dari Dia yang menciptanya. Seperti ukiran ayat 4 dari surah indah Al-Fath. Allah berfirman;


4. Dia lah Yang menurunkan ketenangan dan rasa tenteram ke Dalam hati orang-orang Yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta Dengan iman dan keyakinan mereka Yang sedia ada; pada hal Allah Menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


     Ya, begitulah ianya indah terukir. Allahlah Tuhan yang menurukan ketenangan kedalam hati orang-orang yang beriman. Allahlah yang mencipta ketenangan. Allah yang memberi ketenangan dan Dia jualah yang mengambil kembali ketenangan. Jadi ketika jiwamu resah kebuntuan, carilah ketenangan pada Tuhan. Dia menjanjikannya, bagaimana mungkin Dia memungkirinya.

     Akhir coretan, pulanglah wahai jiwa kepada Dia yang Esa. Fahamilah falsafah hidupmu didalam setiap sujudmu. Carilah ketenangan hakiki didalam rindu pada Tuhanmu. Baikilah setiap satu amalmu agar ia segar dipersembah kepada Allah yang Satu. Mungkin hatiku kurang erti ikhlas didalam mencoret kata ini, Aku memohon ampun dan maaf kepada Allah yang penuh Keampunan. Moga coretan hati ini memberi manfaat kepadaku dan dirimu. Moga Allah mengampukan setiap satu salah laku kita. Moga kita diiktiraf sebagai hambaNya yang diredhoi dan dijemput masuk kedalam RahmatNya yang Maha Luas. Moga kita terhimpun sebagai jiwa-jiwa yang tenang memasuki Syurganya yang penuh kejaiban!


27. "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
28. "Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
29. "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia -
30. "Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! "
Al-Fajr, 27-30

Naina



Monday, February 10, 2014

Pemergian



Deraian tangisanmu mengalir hiba
Menghantar pemergianku tanpa bicara
Lambaian akhir yang penuh makna
Mengakhiri pertemuan antara kita

Keseoranganku melukis derapan kaki
Langsung membawamu jauh dari sisi
Amukan ribut taufan dibenak hati
Lantas menenggelamkan ribuan memori
Kebuntuan akalku mencanak perancangan Ilahi
Yang bakal mengubah hala tuju peribadi
Yang entah masih tidak kuketahui
Aku harus pergi meninggalkanmu disini

Kosongnya ruang masa ini
Begitu kosongnya isi hati
Figura mereka masih bermelodi
Gelak tawa sedih hiba sibuk menghiasi
Menambah hiba dikamar nurani
Bebola hati semacam menangisi
Tanpa terlihat air mata yang membasahi
Lantas aku termenung lagi
Memikirkan tembok yang bakal diukiri
Memisahkan jarak kita seluas infiniti
Aku bukan berlari pergi
Atau menjauhimu tidak sekali
Aku pergi kerna Ilahi
Bukan menuntun nafsu duniawi

Kepergianku demi membawa diriku yang baru
Kehilanganku kerana mencari tinta ilmu
Aku akan kembali kesisimu
Kerna itu janji yang tersemat dikalbu
Cuma masih tidak ku tahu
Bilanya waktu itu akan berlaku
Salam ku ukir mengakhiri coretan rindu

….

naina

Saturday, February 08, 2014

Jauh

Jauh

Jauh kau merantau pergi
memanggul ribuan detik masa disisi
mewujudkan tembok masa yang meninggi
memisahkanku dan dirimu tanpa simpati

belum tiba waktu bagiku
mencipta detik bertemu dirimu
kerna itu tersurat dibalik helaian waktu
aku tercipta tika akhirnya nafasmu

cubaku menyelam ditimbunan buku
mencari setiap satu hakikat dirimu
agar bisa ku menatap keindahan wajahmu
melalui sirah yang tercipta masa lalu

bagaikan hausnya si pengembara
aku dahagakan kalam kata mutiara
yang ditutur indah Baginda yang mulia
dibawah sinaran hikmah Yang Maha Esa

kiranya doaku pasti terkabul
tiada yang bisa memuaskan permintaan kalbu
melainkan bersamamu walau dipenjuru
melihatmu dari kejauhan bola mataku

wahai kekasihku, wahai rinduku
inginku terus menitip coretan kata syahdu
melukis setiap satu erti cinta dikalbu
yang terpotret indah hanya kepadamu

moga terutuslah tinta hati ini
agar ia bisa bersuara keluhan dihati
akan derita cinta dan rindu padamu habibi
Selawat dan Salam keatasmu wahai Nabi



naina

Thursday, January 09, 2014

name of many names

The fact that I could utter ABC
The fact that I am counting 123
The fact that I am walking seamlessly
The fact that I am running freely
The fact that I am smiling never ending
The fact that I am laughing without worry
The fact that I am breathing healthily
The fact that I am who I am
And for every fact that creating my being
It’s all goes back to you
The fact that you raise me up
The fact that you teach and guide me right
And for each and every fact that happen
I praise Allah for sending you to me
Protecting me in the name of many names
Abah, Ayah, Daddy, or Father
You are still the same to me
You are Abah..
You are God-Chosen to be my father
And I could never say much
To show my gratitude
For every fact that you create
Crafting me as who I am today

Abdul Hakim Bin Abdul Halim
8th January 2014



 naina

Friday, December 27, 2013

Derapan Kaki Pejuang


 Terpaku ku sendirian
Membelakangi masa silam
Menghala bebola mataku ke lorong zaman
Mencerna sirah yang mewarnai kehidupan
Membuka mata hati yang ketiduran
Dek terpesona akan keduniaan
Melupakan akar umbi dakwah Islam
Yang diukir Indah kekasih Tuhan
Bergoncang batang tubuhku kekejutan
Membangunkan jiwa yang lena panjang
Meniliti kehidupan Para Pejuang Islam
Mencintai Baginda tanpa batasan
Menggadai dinar dan dirham
Perjudi setiap helaan nafas kehidupan
Mencermin biasan Cinta yang penuh keikhlasan
Hanyasanya demi Rasul dan Tuhan
Kiranya Cinta mereka tiada bandingan
Lalu aku malu sendirian
Melihat diriku dibalik runtuhan zaman
Mencermin setiap satu amalan
Dibayangi bayang hitam dan kealpaan
Mewujudkan pemisah antaraku dan Para Pejuang
Menidakkan bayanganku dicelahan bayangan Kekasih Tuhan
Lalu aku tersungkur kekecewaan
Sesungguhnya bukan ini hasrat yang disimpan
Aku mahu memijak derapan kaki mereka
Mencipta sirah yang penuh keajaiban
Lantas membenarkan bait-bait Kalam
Dititian perjuangan mereka yang digelar Pejuang
Pejuang Sang Rasul dan Tuhan

Naina

Monday, December 16, 2013

Menapak Dilorong Kenangan..



Pagi yang disirami ketenangan
Seperti pagi-pagi dihari semalam
Masih lagi setiaku mengukir derapan
Melalui denai-denai memori silam
Mengenang teman yang mengukir kehidupan
Ku dapati diriku berenang didalam kenangan
Seolah kalian masih bergelak tawa kegirangan
Dipenjuru banggunan fakulti undang-undang

Seolah-olah aku melihat kalian dimeja itu
Mencerap ilmu tanpa jemu
Diselangi melodi tawa memecah kesunyian
Menyelimuti kebosanan yang bertandang tanpa diundang

Dilorong memori setia ku menapak kaki
Melihat kelibat kalian di kantin ini
Menikmati menu yang tersedia tanpa berganti
Duduk bersama kita menikmati
Dihiasi cerita-cerita yang menggeli hati
Sesekali bicara berkisar Kes itu dan ini

Terowong masa berlalu begitu deras
Seolah baru sepurnama kita dibangku kelas
Berlalu sudah empat tahun yang begitu pantas
Dihiasi corak warna kenangan masa lepas

Begitulah kisah ini terukir indah
Dihiasi coretan gelak tawa yang meriah
Diselangi dengan tangis hiba dihati
Menutupi kisah keluarga Legasi 30 ini
Namun jarak mata bukan akhiran episod kita
Kerna jarak hati masih mengikat erat kisah kita
Moga kalian menempa erti bahagia
Tanpa melupai kenangan yang diukir bersama

Salam ku kirim menutupi coretan kata

17 December 2013 / 10.48PM / Mahallah Ali F 2.1C

Naina

Thursday, December 05, 2013

Perahu Iman

Kini kau jauh melayar pergi
Menaiki perahu pilihan hati
Dibayangi cetusan hikmah Sang Ilahi
Bahagia kau melayar perahu hakiki

Saat hati tenteram dialun melodi
Gundah bertandang mengocak kendiri
Kegayutanmu diatas gunung hati
Dimomoki resah kisah memori

Melihat indah pelangi senja
Sekadar indah dibibir mata
Walau tampak jernih di air muka
Dijendela hati terasa perit lukanya

Setianya Dia memimpinmu
Mengirim teman kamar yang penuh syahdu
Walau mungkin hatinya sayu
Ikhlasnya memaut jemarimu penuh rindu

Jadinya, apa lagi tuntutan hatimu?
Nanti Jangan kau meratap seperginya perahu itu
Mungkin baru itu hatimu sedar penuh malu
Betapa dia perahu yang dikirim Tuhan buatmu

Sepertinya Firman Tuhan dihelaian Quran
Insan dibentang  dua permaidani jalan
Permaidani dihiasi onak duri kefasikan
Atau dilakar indah sinaran Iman

Doaku di kejauhan
Agar kau memilih Permaidani Iman
Setia melayari perahu kiriman Tuhan
Menuju destinasi Syurga penuh keajaiban

Wassalam…


#gantilah gundahmu dengan zikir iman, bahagiakanlah nuranimu dengan kasih dan cinta Tuhan. May u find peace my dear sister. Peace besides him, "the chosen one". =)

Freshly crafted from my heart. 12:19am. 6/12/13
Naina