Monday, December 24, 2012

Permohonanku

Wahai Tuhan
Dengarkanlah permohonanku ini
Permohonan yang terbit dibalik muara hati
Permohonan yang berkait hidup dan mati
Wahai Tuhan
Lemahnya sang hamba
Andai bisa dianalogi
Diriku bagai ranting kayu
Hancur rapuh dilanggar ribut
Oh Tuhan
Acapkali ku menangisi noda tanganku sendiri
Namun tangisan itu bagai menitik didedaun keladi
Ia bagai sungai yang mengalir lesu
Tanpa sebarang kesan dihati
Hanya pengucapan taubat terbit dibibirku
Namun tiada panahan dihatiku
Wahai Tuhan
Maluku malu
Akan jalan yang sedang kulangkahi
Dipenuhi arang hitam
Bauan busuk yang berterbangan
Busuk bangkai yang meloyakan
Hasil dari dosa-dosa yang terus terukir
Terukir oleh tanganku yang hina
Tuhan
Aku tahu kau digelar Penyayang dan Pengampun
Namun tidak ku lupa
Akan gelaran Kehebatan dan Kekasaran Azab-Mu
Memikirkan api yang membakar kulitku
Membuatkan ku takut oh Tuhan
Kecil tanganku menadah
Meminta dan merayu Kasih-Mu
Meliliti tubuh kerdil ini
Memintal Ampunan dan Rahmat-Mu
Agar aku sentiasa segar didalam dakapan Cinta-Mu
Sudilah Kau terima Roh ini wahai Tuhan
Agar girang hati ini dilimpahi Redho-Mu..
Oh Tuhan!


Naina

Friday, December 07, 2012

Bila Ujian dan Musibah datang berziarah..



Bismillah. Dengan Nama Allah.
Sesungguhnya kami beriman hanya pada-Mu Allah. Dan sesungguhnya kami berikrar bahawa solat kami, ibadah kami, hidup kami, mati kami hanyalah untuk-Mu Wahai Sang Ilahi. Selawat dan Salam ku utuskan khas buatmu Rasul, Pembawa dan Penyebar Risalah Tauhid dari Allah SWT. Moga aku dipertemukan dengan mu wahai Nabi suatu hari nanti, Ameen.

Benarlah, Ujian itu satu nikmat. Ia satu pengikat. umpama tali yang mengikat kuat, begitulah ujian yang datang. Ia datang untuk mengikat lebih ketat lagi hubungan seorang Hamba dengan Penciptanya. Ujian itu kelihatanya satu musibah yang digeruni. Kerana ia amat menyakitkan hati. Kerana ia amat merungsingkan fikiran, rohani dan jasmani. Pasti hati-hati yang teruji akan merasai sedih dan sayu mengenangkan nasib diri. Setiap yang berjiwa pasti terasa perit bila didatangi ujian. Kadang, ujian itu sangatlah berat gaya seperti nyawa dihujung tanduk. Ketika itu, pasti kita pasrah dan berputus asa. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula.

Tetapi, tanpa kita sedari, hakikatnya ujian itu didatangkan oleh Allah, yang juga turut digelar Yang Maha Mengetahui. Ya, Allahlah yang mendatangkan ujian. Jika Dia mampu mewujudkan ujian, mustahillah Dia tidak mampu menghilangkannya? Jika Allah mampu menghidupkan insan, mustahil Dia tidak mampu mematikannya? Hakikatnya begitulah. Allah Maha Mewujudkan Ujian dan Musibah dan Allah jua yang Maha Menghilangkan ujian dan musibah. Kadang bila kita dibanyangi ujian hidup yang berat dan keras, hati mula bermain-main soalan nakal, ‘kapankah ujian ini akan berakhir?’; ‘bilakah aku mampu merasai sinar hidup kembali’; ‘mengapakah Allah tidak adil padaku?’.

Jangan begitu. Tidak dinafikan, ujian itu memang sesuatu yang pahit. Umpama menelan ubat tanpa menelan air. Pahitnya begitu terasa dan melekat dilidah. Namun, sedarilah, ujian itu bukan saja pahit pada mulanya, ia mampu merubah menjadi manis! Manis umpama Madu. Atau mungkin gayanya seperti gula! Mengapa pula begitu? Kerana, ujian itu merupakan salah satu petanda bahawa Allah masih lagi menyanyangi dan memelihara kita. Didalam mengatur langkah dimuka bumi ini, kadang kita tidak sedar akan silap dan salah yang telah kita lakukan. Mungkin saja perlakuan kita tanpa disedari telah melukai hati teman-teman kita. Atau mungkin patah kata yang terukir dari mulut kita telah menghiris hati-hati yang mendengar seperti belati yang menghiris. Sungguh tajam dan menyakitkan! Dan akibatnya, dosa-dosa mula memenuhi buku amal kita. Lumut-lumut hitam mula membusuk dihati. Akibatnya, hati kita mula hilang serinya. Mula mengeras seperti kerasnya batu ditepian kali.

Jadi, ketika ini, ujian Allah datang berziarah. Mengetuk pintu hati kita agar kembali ke jalan yang sepatutnya. Ia datang memimpin tangan kita kearah lorong yang selamat. Lorong yang menuju kepada jalan pulang yang hakiki dan suci. Ketika ujian datang berziarah, ketika itulah kita mula termenung, kembali menilik hari-hari lepas, kembali meniliti tapak-tapak yang semalam dan dihujung harinya, barulah kita tersedar! Menepuk dahi kekesalan akan dosa-dosa yang telah kita lakukan kelmarin. Barulah dahi mencari sejadah untuk sujud menghina jasmani dan rohani dihadapan Dia yang Maha Pengampun. Ketika itulah kita kembali bangkit. Mula mengunci alarm pukul 4 pagi demi bangun berdialog dengan Tuhan kita ditikar sejadah. Menangis, mengadu akan masalah-masalah yang hadir. Meminta belas ihsan, kasih mesra dari Allah, Raja yang Paling besar Cintanya pada kita. Bertaubat dan berikrar bahawa kita akan sentiasa mematuhi ajaran-Nya dan meninggalkan segala duri-duri jahiliyah serta asap hitam dosa yang hina.

Dan dipenghujung waktu, hati kita mula terisi ketenangan. Jiwa kita kembali segar dengan bunga-bunga cinta Ilahi. Hati kita yang dulunya kering bak sungai yang kontang di musim kemarau kini basah dengan aliran denai zikrullah. Alhamdulillah, kini jalan hala tuju kita kembali jelas dan bersinar. Ternyata Allah tidak meminggirkan kita! Ya, Dia tetap mencinta kita dan tetap memelihara kita! Barulah kita tersedar bahawa ujian yang bertandang semalam menjanjikan kebahagian dihari esok! Allahuakbar. Maha Hebat Allah didalam mencaturi hidup hamba-hambaNya.

Akhir kalam, mari kita memahami akan sabda indah Baginda Muhammad SAW: 

“Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya”
(Riwayat Muslim)


Naina  :)

Tuesday, December 04, 2012

tinta hatiku buatmu..


Jauh jarak kita
Tidak bermakna kau terpinggir diruang hatiku
Jauh jarak kita
Demi mematuhi lukisan potret Ilahi
Bukan turutan hati dan nafsu yang ku mahu
Hanya hati yang terpaut pada dahan cinta Sang Pencinta
Sujud hina di pangkuan Dia
Memenuhi hasrat dan suruhan-Nya
Mungkin manusia memanahmu dengan omongan
Atau menghina mencerca pilihanmu
Jangan kau lemah, jangan kau gusar
Mereka hanya menuruti kebebasan mereka
Kebebasan berkata yang penuh dusta
Tetaplah kau dengan cara mu
Kau bukan patung boneka yang dipintal mereka
Wahai dirimu, bersabarlah dengan hati yang rela
Kerna ku tahu Dia senantiasa memayungimu
Melihat, menjaga dan memeliharamu
Bukan raut wajahmu yang ku gilai
Hanya kerna Nur Iman
Yang terlukis indah pada Akhlakmu
Tercermin menerusi peribadimu
Terpapar dibalik malumu
Terukir indah pada mahkota Taqwamu
Itulah yang ku kejari
Sebagai pembimbing zuriatku
Menjadi pembantuku dikala gelisah
Penemanku dikala sepi
Penjagaku dikala gundah
Penguatku dikala lemah
Pengingatku dikala alpa
Kesantunan nilai peribadimu sungguh ku kagumi
Malumu sungguh ku junjung
Bukan niat ku mengagung
Hanya sekadar bermohon
Agar kau Thabat dengan caramu
Kerna itulah kualiti yang ku lihat padamu
Jangan kau sangsi akanku
Kerana Rahmat dan Kasih-Nya
Akan ku genggam tutur janjiku
Gaya si murai menggigit makannya
Begitulah aku mengetap rapat ketat janjiku
Moga Pemberi Cinta menjaga kita
Kerna ku tau manusia itu lemah dan lupa
Lemah akan godaan si hantu iblis
Lupa akan janji yang dicipta sendiri
Inilah coretan hatiku istimewa buatmu
Moga kau disana memahami isi nukilan ini
Sekian dariku salam ku dahului


Naina