Bismillah. Dengan Nama Allah.
Sesungguhnya kami beriman hanya
pada-Mu Allah. Dan sesungguhnya kami berikrar bahawa solat kami, ibadah kami,
hidup kami, mati kami hanyalah untuk-Mu Wahai Sang Ilahi. Selawat dan Salam ku
utuskan khas buatmu Rasul, Pembawa dan Penyebar Risalah Tauhid dari Allah SWT.
Moga aku dipertemukan dengan mu wahai Nabi suatu hari nanti, Ameen.
Benarlah, Ujian itu satu nikmat.
Ia satu pengikat. umpama tali yang mengikat kuat, begitulah ujian yang datang.
Ia datang untuk mengikat lebih ketat lagi hubungan seorang Hamba dengan
Penciptanya. Ujian itu kelihatanya satu musibah yang digeruni. Kerana ia amat
menyakitkan hati. Kerana ia amat merungsingkan fikiran, rohani dan jasmani. Pasti
hati-hati yang teruji akan merasai sedih dan sayu mengenangkan nasib diri. Setiap
yang berjiwa pasti terasa perit bila didatangi ujian. Kadang, ujian itu
sangatlah berat gaya seperti nyawa dihujung tanduk. Ketika itu, pasti kita
pasrah dan berputus asa. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula.
Tetapi, tanpa kita sedari,
hakikatnya ujian itu didatangkan oleh Allah, yang juga turut digelar Yang Maha
Mengetahui. Ya, Allahlah yang mendatangkan ujian. Jika Dia mampu mewujudkan
ujian, mustahillah Dia tidak mampu menghilangkannya? Jika Allah mampu
menghidupkan insan, mustahil Dia tidak mampu mematikannya? Hakikatnya
begitulah. Allah Maha Mewujudkan Ujian dan Musibah dan Allah jua yang Maha
Menghilangkan ujian dan musibah. Kadang bila kita dibanyangi ujian hidup yang
berat dan keras, hati mula bermain-main soalan nakal, ‘kapankah ujian ini akan
berakhir?’; ‘bilakah aku mampu merasai sinar hidup kembali’; ‘mengapakah Allah
tidak adil padaku?’.
Jangan begitu. Tidak dinafikan,
ujian itu memang sesuatu yang pahit. Umpama menelan ubat tanpa menelan air. Pahitnya
begitu terasa dan melekat dilidah. Namun, sedarilah, ujian itu bukan saja pahit
pada mulanya, ia mampu merubah menjadi manis! Manis umpama Madu. Atau mungkin
gayanya seperti gula! Mengapa pula begitu? Kerana, ujian itu merupakan
salah satu petanda bahawa Allah masih lagi menyanyangi dan memelihara kita. Didalam
mengatur langkah dimuka bumi ini, kadang kita tidak sedar akan silap dan salah
yang telah kita lakukan. Mungkin saja perlakuan kita tanpa disedari telah
melukai hati teman-teman kita. Atau mungkin patah kata yang terukir dari mulut
kita telah menghiris hati-hati yang mendengar seperti belati yang menghiris. Sungguh
tajam dan menyakitkan! Dan akibatnya, dosa-dosa mula memenuhi buku amal kita. Lumut-lumut
hitam mula membusuk dihati. Akibatnya, hati kita mula hilang serinya. Mula mengeras
seperti kerasnya batu ditepian kali.
Jadi, ketika ini, ujian Allah
datang berziarah. Mengetuk pintu hati kita agar kembali ke jalan yang
sepatutnya. Ia datang memimpin tangan kita kearah lorong yang selamat. Lorong yang
menuju kepada jalan pulang yang hakiki dan suci. Ketika ujian datang berziarah,
ketika itulah kita mula termenung, kembali menilik hari-hari lepas, kembali
meniliti tapak-tapak yang semalam dan dihujung harinya, barulah kita tersedar! Menepuk
dahi kekesalan akan dosa-dosa yang telah kita lakukan kelmarin. Barulah dahi
mencari sejadah untuk sujud menghina jasmani dan rohani dihadapan Dia yang Maha
Pengampun. Ketika itulah kita kembali bangkit. Mula mengunci alarm pukul 4 pagi demi bangun berdialog
dengan Tuhan kita ditikar sejadah. Menangis, mengadu akan masalah-masalah yang
hadir. Meminta belas ihsan, kasih mesra dari Allah, Raja yang Paling besar
Cintanya pada kita. Bertaubat dan berikrar bahawa kita akan sentiasa mematuhi
ajaran-Nya dan meninggalkan segala duri-duri jahiliyah serta asap hitam dosa yang
hina.
Dan dipenghujung waktu, hati kita mula
terisi ketenangan. Jiwa kita kembali segar dengan bunga-bunga cinta Ilahi. Hati
kita yang dulunya kering bak sungai yang kontang di musim kemarau kini basah
dengan aliran denai zikrullah. Alhamdulillah, kini jalan hala tuju kita kembali
jelas dan bersinar. Ternyata Allah tidak meminggirkan kita! Ya, Dia tetap
mencinta kita dan tetap memelihara kita! Barulah kita tersedar bahawa ujian
yang bertandang semalam menjanjikan kebahagian dihari esok! Allahuakbar. Maha
Hebat Allah didalam mencaturi hidup hamba-hambaNya.
Akhir kalam, mari kita memahami
akan sabda indah Baginda Muhammad SAW:
“Memang sangat menakjubkan
keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu
tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan
kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia
tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya”
(Riwayat Muslim)
Naina :)
No comments:
Post a Comment