Tuesday, April 17, 2012

Jalan Dakwah Jalan Kita!

Bismillah Hua Ar-Rahman wa Ar-Rahim.

Jalan berdebu itu perlu dibersihkan. Kotoran dan karat jahiliah itu perlu disucikan. Bukan menagih nyawamu, tetapi hanya usahamu. Susahnya jalan ini memang diakui. Masakan tidak, Baginda yang Mulia itu turut jua merasai keperitan jalan ini. Batu-batuan, caci makian, kutukan dan tuduhan turut dilemparkan oleh mereka-mereka yang ‘bodoh’ kepada Baginda Ar-Rasul yang suci lagi mulia ini.

Wahai insan, jalan Dakwah itu satu kemestian, bukan pilihan. Kehendak hatimu bukan alasan bahkan ia merupakan ujian. Ujian menentukan kekuatan iman dan akal mu untuk menentang hawa nafsu yang bergelora umpama lautan biru diserang Tsunami. Jalan ini sangat berliku dan mencabar. Tetapi patutkah ini dijadikan alasan untuk duduk berdiam tanpa berdakwah? Apakah definisi mu kepada ‘dakwah’? Adakah bagimu Dakwah itu bergerak dari rumah ke rumah menyampaikan risalah? Atau memakai jubah, berjanggut panjang, berseluar singkat dan berceramah di masjid-masjid?

Jika ini tanggapan mu terhadap Dakwah, perlulah kau betulkan semula, agar ‘dakwah’ itu tidak terus menerus difitnah. Dakwah itu sangat menyeluruh. Berbuat baik kepada orang tua, berakhlak seperti akhlak nabi – sedekah, solat sunat, mengangkat batu yang menggangu dijalan raya, menyapa saudara yang dijumpai, menghulurkan tangan kepada saudara yang susah dan banyak lagi! Semua ini Dakwah! Nabi kita bukan hanya berdakwah dengan cara ceramah. Bahkan lebih dari itu. Akhlak Baginda sangat mulia. Akhlak Baginda membawa rahmat kepada seluruh alam hatta binatang dijalanan. Masakan kita tidak mampu mengikut jalan yang disediakan baginda? Sunah baginda sudah banyak diperdengarkan kepada kita; persoalannya, sejauh mana pula kita praktikan?

Jalan Dakwah jalan orang beriman. Pernahkan anda membaca tafsiran Surah Hud? Subhanallah, jika dibaca sudah tentu kita tahu betapa Dakwah itu sangat penting. Lihatlah betapa Allah tidak henti-henti menghantar Nabi-nabi kepada setiap kaum. Dari satu kaum, ke satu kaum yang lain, dihantar-Nya utusan untuk berdakwah kepada kaum-kaum yang ‘bodoh’ itu. Lihat saja, cerita yang bermula dari Nabi Nuh, kemudian Nabi Hud, disambung pula Nabi Soleh, Nabi Ibrahim, Nabi Syu’aib, Nabi Musa dan seterusnya. Tidak perasankah kita mesej yang disampai didalam surah ini? Betapa Dakwah itu sangat penting dan mustahak dilakukan. Allah tidak menurunkan harta kekayaan, tetapi Dia menurunkan Rasul-Rasul yang membawa Risalah Suci-Nya untuk kaum manusia. Proses menyampaikan risalah inilah dinamakan ‘dakwah’.

 Ketahuilah, Nabi-nabi ini bukan hanya menyampaikan risalah-risalah dengan berceramah, bahkan mereka menunjukkan kualiti mereka sebagai seorang Da’i. Seorang Da’i yang mempunyai akhlak yang terpuji. Ketahuilah insan bahawa menunjuk akhlak atau qudwah yang baik itu cabang daripada Dakwah. Wahai insan, ketahuilah bahawa tujuan penghidupan mu ialah untuk beribadah hanya kepada-Nya dan seterusnya menjadi wakil-Nya diatas muka bumi ini – itulah yang dinamakan ‘menjadi Khalifah’ yang menerapkan cara hidup Islam kepada semua lapisan masyarakat. Dan soalannya, bagaimana semua ini boleh terjadi? Itulah dia Dakwah! Dengan Dakwah, kita mampu mengubah batu menjadi pasir, menukar benih kepada buah, merubah api kepada air dan mewujudkan kesejahteraan kepada Ummat Manusia!

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar. – At-Taubah; 111

-anak.soleh- 

No comments: