Saturday, August 23, 2014

Wahai Kekasihku, Tinta Kata Buatmu..

Pernahkah kita menitis air mata kerana mengenangkan seseorang yang tidak pernah kita ketemu? Cuba bayangkan datang seorang kawan, menceritakan akan perihal seseorang yang bernama si fulan. Tidak lama kemudian, air mata kita bergenang kerana rindukan pada si fulan yang diceritakan teman. Apa logik ia boleh berlaku? Kita menitiskankan air mata kita kerana rindu dan kasih pada seseorang yang kita tidak pernah ketemu, bahkan tidak pernah melihat foto gambarnya.

Namun lain halnya terhadap satu susuk tubuh ini. Begitu ramai manusia menitiskan air mata rindu padanya. Walau tiadalah pernah bebola mata mereka menatap wajahnya, tiadalah kawan terdekat yang pernah berjumpa dengannya, bahkan tiada satu foto gambarnya wujud bagi tatapan mata. Namun, walau sedeminkian halnya, begitu ramai insan ‘merobek’ air matanya hanya kerana rasa rindu dan cinta pada susuk tubuh itu.

Sungguh, hubungan susuk tubuh itu, sangat dekat dengan segelintir manusia. Walau hanya diperdengarkan indah kisah sejarahnya, walau hanya berbekalkan kalam yang diperturun dari satu generasi ke satu generasi, ia sudah cukup ampuh meleraikan titisan air suci dari mata-mata sang perindu. Sememangnya bagiku, susuk tubuh itu cukup istimewa dan begitu indah untuk diperagakan kisahnya.

Berbicara mengenai dia sungguh sesuatu yang kusukai. Air mata sungguh mudah teralir saat kita berbicara akan hal dirinya. Bagi diriku yang penuh kehinaan ini, bercerita akan ceritera-ceritera si dia sudah mampu menjentik perasaan nurani. Sebak dijiwa pasti wujud. Bahkan akan wujud getaran dicelahan bait-bait kalam gaya tali gitar yang digetarkan lantas mencipta melodi duka yang menghambat air mata.

Hubunganku dengannya sungguh istimewa. Makin ku dicelikkan akan kisahnya yang penuh suka duka, makin hati terasa berdamping bersamanya. Andai saja wujud susuk tubuh itu berdiri tenang disisiku, pasti saja ku merasakan dunia sudah tiada nilainya. Sungguh, bagiku, wujud satu tali silaturrahim antara aku dengan dia. Seolah dia masih disini, melihat aku di balik pohon cemara, lantas mengukir senyuman indah disaat aku berpaling dan terlihat akan dia.

Wahai kekasihku, berapa lama lagi harus ku tunggu? Untuk aku melihat mu secara tatapan yang sebenar. Kesaksian akan susuk tubuhmu melalui bebola mataku, bukan melalui kalam-kalam yang dititipkan dari mereka-mereka yang terdahulu. Beritahulah padaku, butiran terperinci akan kejadian hari bersejarah itu. Dihari apa? Dimana? Jam berapa? Aku ingin mengukirkan tinta pada kotak kalendarku, akan janji temu kita berdua. Akan hari indah yang ku menanti umpama si helang menanti umpannya. Benar, hatiku amat menginginkan akan terjadinya hari itu. Hari dimana aku menanti tanganmu menghulur minuman enak yang segar diceluk dari telaga Al-Khauthar. Hari dimana gegendangku bergetar mendengar bait-bait indah yang terpancar dari dua bibirmu yang indah. Hari dimana, tiada lagi perawi yang merawi, hanya bait kalam yang diutur merdu langsung dari mulutmu. Hari dimana, tiada lagi imiginasi liar bermain diminda mengambarkan bagaimanakah rupamu yang penuh cahaya, kerna jalur-jalur bulu mata ini akan menjadi saksi bahawa anak mataku melihatmu langsung tanpa hijab yang menutup pandangan.

Wahai kekasihku, masih malu jemariku mengukir namamu melalui papan kekunci ini. Hanyasaja kau mengetahui perihal jantungku yang berdegup membiaskan rasa gugup memikirkan bagaimana hari janji temu kita. Seolah satu pancaran petir berlalu memberi amaran, andai aku tidak dicartakan didalam carta nama ummahmu. Kelak musnahlah segala kelazatan yang kuimpikan. Andai pernah aku merasa kebahagian, kelak dikala itu, jika ditanya ‘pernahkah aku melalui erti bahagia?’ pasti jawapanku tidak, bahkan tidak. Punahlah harapanku bertemu Rabbku tanpa kau menjadi bahtera penyelamat yang membawaku berlayar bersama ke syurga Abadi.

Wahai Rasul, Kekasih Allah, Sahabat Jibril, andai saja untaian kata ini bisa dimengertikan dengan pembacaan darimu, pasti api bahagia marak membakar tanpa mampu dipadami oleh sekalian makhluk. Aku rindu padamu. Tadi malam, aku membacakan kisahmu pada taulanku. Dan seperti halnya hari-hari kelmarin, tidakku mampu menahan kolam air mataku. Gugur jua titisan air jernih membasahi jiwaku yang dibaluti belati rindu padamu. Aku berharap agar hidungku bisa ditusuki bauan kasturi dari susuk tubuhmu seperti apa yang dikisahkan sahabat-sahabatmu didalam bait-bait hadith. Aku berharap bebola coklat mataku ini bisa menyaksikan kecerahan sinar nur diwajahmu yang digambarkan melebihi kecantikan sang purnama. Harapanku kian menggunung, untuk memelukmu dan mencium dahimu seperti bibir-bibir taulanmu. Aku jua berharap, tangan yang hina ini bisa membawa sepatumu kala kau keluar dari kamarmu menuju ke serata destinasi bagi menitipkan kalam indah Sang Pencipta, Rabbul Izzati kepada ummat manusiawi.

Saksikanlah coretan hati yang ku ukir ikhlas, menggambarkan akan perasaan yang tersulam dibalik jari-jari yang berlari diatas papan kekunci ini. Moga adanya jodohku bertemu dengan susuk tubuhmu dan disana kelak kita bersama menyaksikan keindahan wajah Tuhan, diatas dipan-dipan, dibawah pohon rendang, dicelahan binaan istana-istana gemilang, disatu sudut indah yang tercipta dengan aliran sungai-sungai yang penuh keharmonian, dikiri dan kanan, sambil meminum minuman lazat dari piala - piala perak, disaji oleh pemuda-pemuda yang tiada pudar keindahan diwajahnya. Itulah destinasi yang bersulamkan kemulian; yakni Syurga Abadi, ciptaan Tuhan yang Maha Menciptakan.


Assalamualaika Ya Rasulullah. Solatan Wa Salaman alaika. 


Dari seorang ikhwan, kepada Muhammad Utusan Tuhan,
Abdul Hakim
23/08/2014

Friday, August 22, 2014

Interprestasi

Sedang aku termenung keseorangan
Membawa anganku jauh dikelam awangan
Mengingati halaman-halaman semalam
Yang dihiasi pelbagai predestinasi kehidupan
Hasil rancangan aku yang bernama insan
Namun diteliti ketentuan sang Raja Alam
Lantas aku menghela nafas yang panjang
Mengakuri babak drama sulaman Tuhan

Jauh aku membawa diri
Walau susuk tubuh berada disini
Namun halaman hati terbang meninggi
Cuba berlari dari realiti
Yang terukir hari demi hari

Dicelahan gelora akal yang penuh kekusutan
Aku meneliti derapan kaki semalam
Terhias seribu satu kirana kehidupan
Membuah semacam kehairanan
Apa interprestasi disebalik layar lakonan
Definisi apa yang mampu aku ukirkan
Bagi memahami hikmah pengajaran
Yang wujud dicelahan Qadar Tuhan

Mungkin saja aku terlalu lemah
Atau saja akal masih buta
Buta jiwa; buta segalanya
Hijab hitam masih membayangi penglihatan
Menggagalkan setiap cubaan
Kearah memahami hikmah perjalanan
Kerna sememangnya itulah sifat insan
Lemah dan rapuh tanpa taklid pada Tuhan
Bisakah aku persetankan
Membiarkan kekusutan bermaharaja lela
Menjajah setiap ruang inci perasaan
Atau terus saja menjadi pelakon dipentas layar
Cuba melakon watak utama kehidupan
Ahh… sememangnya aku lemah
Sememangnya aku lemah
Apa lagi jawapan disebalik monolog dalaman?
Melainkan berbicara saja pada Dia yang penuh Kasih Sayang

Wahai Tuhan,
Layarkanlah bagiku
Bahtera besar yang penuh berliku
Navigasi kedakapanmu

Agar tenanglah susuk tubuh ini
Agar tenteramlah gelora hati
Menghilangkan segala kekusutan dipenjuru nurani


hasil ukiran hati
Melbourne, 2.04 Petang.
Ogos pada hari ke 23
2014

Monday, August 18, 2014

Saat Pertentangan Bermula


Derasan kaki-kaki berlari
Menari mengikut rentak hentak kaki
Diatas pentas opera hati
Diantara dua rusuk kanan dan kiri
Dibayangi dua irama seni yang dihiasi
Hiasan indah syurga dan bahang neraka Ilahi

Seumpama wujud dua makhluk Tuhan
Dipelusuk jiwaku yang kontang
Meniup hembusan nafsu dari kiri jalan
Diiringi lawanan hembusan iman

Seolah berlaku sukaneka dipentas sanubariku
Perlawanan tarik tali diantara dua makhluk itu
Mencetus debaran disegenap kalbu
Kelak nanti sang juara akan memandu
Halatuju si insan ciptaan Tuhan yang Maha Satu

Andai saja si iblis berkuasa kelak ke neraka
Walakin, ke syurgalah jalannya jika dipandu Taqwa

Pentas opera masih disimbah limpahan cahaya
Kerna pertempuran masih belum berakhir jua
Kerna ia pertarungan yang termaktub sejak dahulu
Terukir jelas didada kitab berwahyu
Kerna ia janji sang iblis dihadapan Tuhannya
Dikala ia diusir hina oleh Dia yang Maha Esa

Dan buat kesekian waktu
Aku menuntun diatas lorong itu
Yang penuh suram; kelam tanpa cahaya lampu
Diiringi bersama pengharapan pada Penciptaku
Bahawa Dia pasti mendepa RahmatNya
Keatas mereka yang memakai persalinan Iman dan Taqwa
Dan semestinya aku ingin agar kiranya

Aku digolong bersama mereka yang diiringi kepintu SyurgaNya


Melbourne, Australia
4.54 PM
19/08/2014