Monday, December 24, 2012

Permohonanku

Wahai Tuhan
Dengarkanlah permohonanku ini
Permohonan yang terbit dibalik muara hati
Permohonan yang berkait hidup dan mati
Wahai Tuhan
Lemahnya sang hamba
Andai bisa dianalogi
Diriku bagai ranting kayu
Hancur rapuh dilanggar ribut
Oh Tuhan
Acapkali ku menangisi noda tanganku sendiri
Namun tangisan itu bagai menitik didedaun keladi
Ia bagai sungai yang mengalir lesu
Tanpa sebarang kesan dihati
Hanya pengucapan taubat terbit dibibirku
Namun tiada panahan dihatiku
Wahai Tuhan
Maluku malu
Akan jalan yang sedang kulangkahi
Dipenuhi arang hitam
Bauan busuk yang berterbangan
Busuk bangkai yang meloyakan
Hasil dari dosa-dosa yang terus terukir
Terukir oleh tanganku yang hina
Tuhan
Aku tahu kau digelar Penyayang dan Pengampun
Namun tidak ku lupa
Akan gelaran Kehebatan dan Kekasaran Azab-Mu
Memikirkan api yang membakar kulitku
Membuatkan ku takut oh Tuhan
Kecil tanganku menadah
Meminta dan merayu Kasih-Mu
Meliliti tubuh kerdil ini
Memintal Ampunan dan Rahmat-Mu
Agar aku sentiasa segar didalam dakapan Cinta-Mu
Sudilah Kau terima Roh ini wahai Tuhan
Agar girang hati ini dilimpahi Redho-Mu..
Oh Tuhan!


Naina

Friday, December 07, 2012

Bila Ujian dan Musibah datang berziarah..



Bismillah. Dengan Nama Allah.
Sesungguhnya kami beriman hanya pada-Mu Allah. Dan sesungguhnya kami berikrar bahawa solat kami, ibadah kami, hidup kami, mati kami hanyalah untuk-Mu Wahai Sang Ilahi. Selawat dan Salam ku utuskan khas buatmu Rasul, Pembawa dan Penyebar Risalah Tauhid dari Allah SWT. Moga aku dipertemukan dengan mu wahai Nabi suatu hari nanti, Ameen.

Benarlah, Ujian itu satu nikmat. Ia satu pengikat. umpama tali yang mengikat kuat, begitulah ujian yang datang. Ia datang untuk mengikat lebih ketat lagi hubungan seorang Hamba dengan Penciptanya. Ujian itu kelihatanya satu musibah yang digeruni. Kerana ia amat menyakitkan hati. Kerana ia amat merungsingkan fikiran, rohani dan jasmani. Pasti hati-hati yang teruji akan merasai sedih dan sayu mengenangkan nasib diri. Setiap yang berjiwa pasti terasa perit bila didatangi ujian. Kadang, ujian itu sangatlah berat gaya seperti nyawa dihujung tanduk. Ketika itu, pasti kita pasrah dan berputus asa. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula.

Tetapi, tanpa kita sedari, hakikatnya ujian itu didatangkan oleh Allah, yang juga turut digelar Yang Maha Mengetahui. Ya, Allahlah yang mendatangkan ujian. Jika Dia mampu mewujudkan ujian, mustahillah Dia tidak mampu menghilangkannya? Jika Allah mampu menghidupkan insan, mustahil Dia tidak mampu mematikannya? Hakikatnya begitulah. Allah Maha Mewujudkan Ujian dan Musibah dan Allah jua yang Maha Menghilangkan ujian dan musibah. Kadang bila kita dibanyangi ujian hidup yang berat dan keras, hati mula bermain-main soalan nakal, ‘kapankah ujian ini akan berakhir?’; ‘bilakah aku mampu merasai sinar hidup kembali’; ‘mengapakah Allah tidak adil padaku?’.

Jangan begitu. Tidak dinafikan, ujian itu memang sesuatu yang pahit. Umpama menelan ubat tanpa menelan air. Pahitnya begitu terasa dan melekat dilidah. Namun, sedarilah, ujian itu bukan saja pahit pada mulanya, ia mampu merubah menjadi manis! Manis umpama Madu. Atau mungkin gayanya seperti gula! Mengapa pula begitu? Kerana, ujian itu merupakan salah satu petanda bahawa Allah masih lagi menyanyangi dan memelihara kita. Didalam mengatur langkah dimuka bumi ini, kadang kita tidak sedar akan silap dan salah yang telah kita lakukan. Mungkin saja perlakuan kita tanpa disedari telah melukai hati teman-teman kita. Atau mungkin patah kata yang terukir dari mulut kita telah menghiris hati-hati yang mendengar seperti belati yang menghiris. Sungguh tajam dan menyakitkan! Dan akibatnya, dosa-dosa mula memenuhi buku amal kita. Lumut-lumut hitam mula membusuk dihati. Akibatnya, hati kita mula hilang serinya. Mula mengeras seperti kerasnya batu ditepian kali.

Jadi, ketika ini, ujian Allah datang berziarah. Mengetuk pintu hati kita agar kembali ke jalan yang sepatutnya. Ia datang memimpin tangan kita kearah lorong yang selamat. Lorong yang menuju kepada jalan pulang yang hakiki dan suci. Ketika ujian datang berziarah, ketika itulah kita mula termenung, kembali menilik hari-hari lepas, kembali meniliti tapak-tapak yang semalam dan dihujung harinya, barulah kita tersedar! Menepuk dahi kekesalan akan dosa-dosa yang telah kita lakukan kelmarin. Barulah dahi mencari sejadah untuk sujud menghina jasmani dan rohani dihadapan Dia yang Maha Pengampun. Ketika itulah kita kembali bangkit. Mula mengunci alarm pukul 4 pagi demi bangun berdialog dengan Tuhan kita ditikar sejadah. Menangis, mengadu akan masalah-masalah yang hadir. Meminta belas ihsan, kasih mesra dari Allah, Raja yang Paling besar Cintanya pada kita. Bertaubat dan berikrar bahawa kita akan sentiasa mematuhi ajaran-Nya dan meninggalkan segala duri-duri jahiliyah serta asap hitam dosa yang hina.

Dan dipenghujung waktu, hati kita mula terisi ketenangan. Jiwa kita kembali segar dengan bunga-bunga cinta Ilahi. Hati kita yang dulunya kering bak sungai yang kontang di musim kemarau kini basah dengan aliran denai zikrullah. Alhamdulillah, kini jalan hala tuju kita kembali jelas dan bersinar. Ternyata Allah tidak meminggirkan kita! Ya, Dia tetap mencinta kita dan tetap memelihara kita! Barulah kita tersedar bahawa ujian yang bertandang semalam menjanjikan kebahagian dihari esok! Allahuakbar. Maha Hebat Allah didalam mencaturi hidup hamba-hambaNya.

Akhir kalam, mari kita memahami akan sabda indah Baginda Muhammad SAW: 

“Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya”
(Riwayat Muslim)


Naina  :)

Wednesday, November 28, 2012

Syukurku


Hening malam yang sunyi
Sesekali kedengaran melodi para penghuni
Dicelahan sepi itu
Teriakan si kecil memecahi
Senyuman ibu terpotret indah
Menghapuskan segala perit dan jerih
Langsung terbit sinar syukur
Hanya saja buat Sang Pemberi
Bermulalah tabir hidupmu wahai bayi
Dipentas dunia kau mengorak gerak
Kau mendewasa bersama rakan
Kau menilik penuh kepakuan
Pelbagai ragam dan garam akan halnya manusia
Disatu sudut kau melihat
Manusia ketawa girang
Girang mengumpul harta dan emas
Ketawa bersama insan tersayang
Namun tanpa kau duga
Disatu sudut yang gelap
Terperosok jauh dari pandangan
Wujud insan yang meratap merintih meminta-minta
Mengemis kasih meronta sayang
Wujud dibenak mu siapakah mereka?
Apakah halnya insan-insan ini?
Dihujung hari itu kau termenung
Memikirkan akan hal dirimu
Dirimu yang terselimut seribu kebahagian
Dirimu yang diulit intan dan permata
Makan minum mu serba mewah
Namun..
Pernahkah kau? Wujudkah dinuranimu?
Rasa syukur pada Dia Sang Pemberi?
Teringatku sabda Tuhan
Bersyukurlah padaKu, kelak Aku melimpahkan nikmatKu…


Naina

Friday, November 23, 2012

Detik


Detik
Merangkak
Setapak demi setapak
Kiri kanan manusia sibuk berlari
Ku berdiri kekakuan
Terpaku mataku dicelahan kalutan
Menadah rintik hujan
Mengharap Rahmat Sang Tuhan
Turun membasahi jiwa yang kontang
Detik
Berjalan
Selangkah demi selangkah
Depan belakang manusia kian sibuk
Mengaut emas dan perak
Ku berdiri kekeliruan
Kemana hendakku menapak
Masa semakin ligat berlari
Aku masih kosong
Kosong ditelan zaman
Kosong amal kosong bekal
Rambut kian menguban
Kulit kian mengedut
Hati kian gersang
Dahagakan iman
Oh Tuhan
Ku Rindukan Teman
Yang pernah memimpin tanganku
ke jalanMu yang Terang...


Naina



Saturday, November 10, 2012

anehnya manusia..


Manusia..
Satu ciptaan yang aneh
Saban hari menghidu udara segar
Namun entah wujudkah rasa syukur dinurani?
Saban hari dihidang santapan mewah
Terdetikkah rasa syukur pada Sang Pemberi?
Tiap waktu berdoa memohon ampunan dari-Nya
Namun tidak terdetik mengampunkan taulannya
Hebatkah engkau manusia?
Setiap hari mendabik dada
Mengaku aku lah yang ini, akulah yang itu
Tanpa menyedari
Semuanya datang dari Ilahi
Sibuk membuka pekung didada orang
Sehingga terlupa cerminkan susuk sendiri
Inikah kau yang bernama manusia?
Yang konon-kononnya
Dadamu terisi Iman dan Taqwa
Tetapi..
Tidak kelihatan pula Taqwa itu dipergerakanmu
Ah.. inikah kau yang mengaku muslim?
Manusia…
Sungguh aneh kamu semua.
Ya, amat aneh.

Friday, November 09, 2012

dicelahan rinai hujan


Detik-detik sepi
Menanti bayangmu 
Hati yang mati
Dahagakan jasadmu
Setiap degupan jantung
Berbunyi namamu 
Namun,
Kelibatmu masih disinari mimpi dan bayangan
Mata berkelip kosong dan kelam 
Keamanan meraung
Dicelahan kesengsaraan 
Setiap jejakmu terhapus
Sedikit demi sedikit
Hilang bagai disapu titikan air mata
Namun tiada kudratku menahannya
Jiwaku beku
Hatiku luluh
Rohku lumpuh
Berdiri ku di atas tongkat
Menanti dengan penuh hikmat
Pada mimpi punah
Duniaku dan duniamu
Terpisah kerana masa
Bagaikan kita berada di dalam kiub kaca
Kau disana, aku disini
Hanya mampu merenung
Dicelahan rinai hujan
Sekeliling manusia bersorakan
Gembira melihat kepedihan kita..

Monday, November 05, 2012

semalam Imanku penat..


Rakusku membaham kenikmatan duniawi
Lantas kekenyangan langsung ku puas
Persetankan nilai Iman di hati
Terbang keasyikan dalam khayalan bebas

Sangkaanku kebebasan itu digenggaman
Asyikku terlena didakapan mimpi dan angan
Kata puji manusia melewah dipendengaran
Tanpa sedar aku kelemasan keseorangan

Saat didasar itu
Kuterokai semula lembaran wahyu
Adakah ini jalan yang diimpikan?
Sudahkah tertunai segala kewajipan?

Ah! Langsung melebar kakiku melangkah
Mencari Nur lilin yang kian lemah
Agar bisa ku memahami Kata Allah
Yang terukir buat tuntunan Ummah

Kelmarin Iman ku terkulai
Dek kerana nafsu bujukan si Iblis
Namun hari ini Dia kembali menuntunku
Kembaliku menyedut nafas Taqwa

Curahan Kasih-Mu pada Hamba
Tetap ada walau mereka melupa
Kini ku berdiri sekuat besi
Diatas sejadah takbir ku mulai
Menghina jasmani di hadapan Ilahi
Agar terampun sisa dosa ku ini

Kosong hatiku dicalit rindu
Pada Dia yang Maha Satu
Moga lembaran coretan hatiku
Bisa membuahkan cinta pada-Mu

anak.soleh

Friday, October 26, 2012

Derapan Bayangan


Terbujur sepi diselaputi tanah pusara
Langsung ditinggalkan mereka tanpa suara
Kelihatan seolah-olah akulah si mati itu
Diam menyepi terisi sesak dan sebak dihati

Derap langkah mereka sayup kedengaran
Dengan diriku yang masih di kegelapan
Tanah busuk itu setia menutupi jasadku mati
Sesak nafasku tiada yang mengerti

Oh! Alangkah celaka jikalau ini bukan mimpi
Oh! Bagaimana mungkin ini bukan khayalan minda?
Kerugian oh kerugianlah diriku ini
Menutupi hayatku tanpa amal dan budi

Tiba-tiba terdengarku derapan kaki
Datang bersama bayangan ngeri
Ketika dua lembaga itu merapati
Gundah cemas menyelubungi hati

Aduh sakitnya aduh pedihnya!
Azab apakah ini?
Tiada yang mendengar ratapanku ini
Mana ayah, mana bonda kemana kalian semua?

Barulah ku sedari
Namun sudah lewat untuk ku kesali
Hidup duniawi aku terleka
Gagalku menyimpan seribu amalan

Beginilah nasibmu wahai pendosa!
Biar kau rasa azab dan denda
Andai saja kau bersedia sebelum ajal
Pasti kau tenang bersama cinta Sang Penyayang

Thursday, September 27, 2012

warkah buatmu habibi

Dalam iringan rahmat Tuhan yang Maha Tinggi
Maujudnya dikau dicelahan suci embun pagi
Berlabuh bersama restu dan cinta Sang Ilahi
Selaku Rahmah buat insan dialam duniawi

Fikiranmu yang dibaluti keterbukaan
Bersama dadamu yang tersirat ulitan kelapangan
Laksana jendela tersingkap dek bayu lautan
Indah disinari cahaya rembulan

Terpesonaku dengan kirana akhlaknya
Laksana sinaran suria yang melabuhi semesta raya
Ketika dia dicela dan diludah nista mereka
Hanya ukiran senyuman terpancar diraut wajahnya

Menelusuri lorong kehidupan silam Baginda
Membuka mata-mata aku dan dia serta mereka
Secantik Kitab-Nya begitulah jua terlukis pada dirinya
Menjadi ikutan serata ummah didunia

Segala puji ku kupersembahkan kepada Ilahi
Kerana Rahmat-Nya dikirim Muhammad Habibi
Lalu teringatku akan butiran kata sang Nabi
‘Kamu akan bersama orang yang kamu kasihi’

Kiranya mampu ku kirim warkah ini
Buat tatapanmu wahai Nabi
Agar termasuklah kesemuanya kami
Didalam syafaatmu yang tiada ganti


Wahai Allah, sampaikan salam ku kepada Nabi-Mu! :)

Thursday, September 06, 2012

anjing dan tuannya ..

Bismillah.

Biasa lihat orang yang suka baca anjing berjalan di pagi @ petang hari?
Jika anda perhati, adakah benar si anjing dibawa tuannya atau si tuan yang dibawa anjing? Jika si tuan berdiri berjalan didepan anjing, jadi kita boleh anggap bahawa si anjing di tarik tuannya. Namun jika si anjing yang berjalan didepan si tuan, maybe kita boleh anggap bahawa si tuan yang ditarik anjingnya bukan? haha. Maybe ade pembaca yang anggap hal ni humor, maybe ada juga yang tidak rasakan sebegitu.

Cuma, saya ingin simbolikkan @ bandingkan perkara di atas dengan kisah kita dan dunia ini. Ada manusia(muslim saya maksudkan), yang menarik dunia dan ada juga yang ditarik dunia. Maksudnya, ada muslim yang berjaya tetapi kejayaannya itu tidak melekakan dia dengan urusan agamanya. Dan, ada juga muslim yang dilekakan dengan kehidupan yang fana ini.

Jadi disimpulkan disini, kita boleh mengejar dunia, tetapi awas, jangan sampai kita terleka dan melalaikan kehidupan kita di Ahirat kelak! :)


Monday, September 03, 2012

dalam gerimis fikiran..


Nafsu serakah menodai nurani
Hati rakus merajai diri
Namun akal mententeramkan rohani
Rasional menemani setia disisi

Bukan mudah menongkah arus duniawi
Lantaran berkompaskan rimba fantasi
Tanpa bukti yang hakiki
Kau menerpa tanpa usul saksi

Wahai teman usahlah begitu
Rasional mu dimana kau pandu
Akal mu dimana kau tuju
Jadikan ia teman kelanamu

Mereka meraung meminta-minta
Kononnya bersuara itu hak mereka
Dimana pula minda mereka
Sudahkah haknya terlaksana?

Buah fikiran itu anugerah Ilahi
Bekalan kembara hidup duniawi
Mudahnya ia dipersetankan insani
Tanpa menyedari mutiara yang terisi

Dalam mencari erti kehidupan
Kau meraba dalam kegelapan
Namun kau karam ditelan zaman
Akibatnya membelakangi akal fikiran

Umpama sapi meragut diladangan
Kau gopoh menduga tanpa mantik kehidupan
Sudahnya terlopong kau kekesalan
Akibatnya kedangkalan akal fikiran

Terkadang rebah kau mengalah
Dalam kegelitaan kau tergadah
Seperti lilin yang mewarnai kegelapan
Rasional datang mententeramkan keadaan