Friday, December 27, 2013

Derapan Kaki Pejuang


 Terpaku ku sendirian
Membelakangi masa silam
Menghala bebola mataku ke lorong zaman
Mencerna sirah yang mewarnai kehidupan
Membuka mata hati yang ketiduran
Dek terpesona akan keduniaan
Melupakan akar umbi dakwah Islam
Yang diukir Indah kekasih Tuhan
Bergoncang batang tubuhku kekejutan
Membangunkan jiwa yang lena panjang
Meniliti kehidupan Para Pejuang Islam
Mencintai Baginda tanpa batasan
Menggadai dinar dan dirham
Perjudi setiap helaan nafas kehidupan
Mencermin biasan Cinta yang penuh keikhlasan
Hanyasanya demi Rasul dan Tuhan
Kiranya Cinta mereka tiada bandingan
Lalu aku malu sendirian
Melihat diriku dibalik runtuhan zaman
Mencermin setiap satu amalan
Dibayangi bayang hitam dan kealpaan
Mewujudkan pemisah antaraku dan Para Pejuang
Menidakkan bayanganku dicelahan bayangan Kekasih Tuhan
Lalu aku tersungkur kekecewaan
Sesungguhnya bukan ini hasrat yang disimpan
Aku mahu memijak derapan kaki mereka
Mencipta sirah yang penuh keajaiban
Lantas membenarkan bait-bait Kalam
Dititian perjuangan mereka yang digelar Pejuang
Pejuang Sang Rasul dan Tuhan

Naina

Monday, December 16, 2013

Menapak Dilorong Kenangan..



Pagi yang disirami ketenangan
Seperti pagi-pagi dihari semalam
Masih lagi setiaku mengukir derapan
Melalui denai-denai memori silam
Mengenang teman yang mengukir kehidupan
Ku dapati diriku berenang didalam kenangan
Seolah kalian masih bergelak tawa kegirangan
Dipenjuru banggunan fakulti undang-undang

Seolah-olah aku melihat kalian dimeja itu
Mencerap ilmu tanpa jemu
Diselangi melodi tawa memecah kesunyian
Menyelimuti kebosanan yang bertandang tanpa diundang

Dilorong memori setia ku menapak kaki
Melihat kelibat kalian di kantin ini
Menikmati menu yang tersedia tanpa berganti
Duduk bersama kita menikmati
Dihiasi cerita-cerita yang menggeli hati
Sesekali bicara berkisar Kes itu dan ini

Terowong masa berlalu begitu deras
Seolah baru sepurnama kita dibangku kelas
Berlalu sudah empat tahun yang begitu pantas
Dihiasi corak warna kenangan masa lepas

Begitulah kisah ini terukir indah
Dihiasi coretan gelak tawa yang meriah
Diselangi dengan tangis hiba dihati
Menutupi kisah keluarga Legasi 30 ini
Namun jarak mata bukan akhiran episod kita
Kerna jarak hati masih mengikat erat kisah kita
Moga kalian menempa erti bahagia
Tanpa melupai kenangan yang diukir bersama

Salam ku kirim menutupi coretan kata

17 December 2013 / 10.48PM / Mahallah Ali F 2.1C

Naina

Thursday, December 05, 2013

Perahu Iman

Kini kau jauh melayar pergi
Menaiki perahu pilihan hati
Dibayangi cetusan hikmah Sang Ilahi
Bahagia kau melayar perahu hakiki

Saat hati tenteram dialun melodi
Gundah bertandang mengocak kendiri
Kegayutanmu diatas gunung hati
Dimomoki resah kisah memori

Melihat indah pelangi senja
Sekadar indah dibibir mata
Walau tampak jernih di air muka
Dijendela hati terasa perit lukanya

Setianya Dia memimpinmu
Mengirim teman kamar yang penuh syahdu
Walau mungkin hatinya sayu
Ikhlasnya memaut jemarimu penuh rindu

Jadinya, apa lagi tuntutan hatimu?
Nanti Jangan kau meratap seperginya perahu itu
Mungkin baru itu hatimu sedar penuh malu
Betapa dia perahu yang dikirim Tuhan buatmu

Sepertinya Firman Tuhan dihelaian Quran
Insan dibentang  dua permaidani jalan
Permaidani dihiasi onak duri kefasikan
Atau dilakar indah sinaran Iman

Doaku di kejauhan
Agar kau memilih Permaidani Iman
Setia melayari perahu kiriman Tuhan
Menuju destinasi Syurga penuh keajaiban

Wassalam…


#gantilah gundahmu dengan zikir iman, bahagiakanlah nuranimu dengan kasih dan cinta Tuhan. May u find peace my dear sister. Peace besides him, "the chosen one". =)

Freshly crafted from my heart. 12:19am. 6/12/13
Naina


Friday, October 04, 2013

Iman Kasturi

Sukarnya mengerti perasaan ini
Walau aku empunya diri
Kusut mencemarkan kotak fikiranku lagi
Aku sesat dibalik kabus siang ciptaanku sendiri

Kemana lagi mahuku menapak kaki
Letih semalam masih setia mengaburi jasmani
Ketetapan Imanku dipersoal lagi
Harapanku kian pudar didalam pencarian rohani

Cubaku kerah sisa baki azam yang kian kehausan
Terketar tanganku membelek helain Quran
Disaat itu seperti Dia datang mengajarkan
Janganlah hambaNya berputus asa akan Rahmat Tuhan

Seperti insan kehausan disua minuman
Hatiku terasa seperti disirami Nur Iman
Jika semalam aku terjatuh dijalan kehidupan
Tidak salah untukku bangkit dan terus berjalan

Berat terasa meniti titian Hijrah ini
Kerna ia berkait soal perubahan rohani jasmani
Namun mengapa berkeluh disaat Tuhan setia disisi?
Tekadku menapak menuju perhambaan abadi
Kerna aku tahu, jalan ini penuh onak duri
Kerna itu juga aku meninggi tangan memohon pada Ilahi
Agar Dia menuntun tangan yang terpalit seribu dosa ini
Kearah jalan yang suci dan harmoni
Sekalian membawa nurani

Merasai kemanisan iman yang mewangi umpama kasturi

naina

kukuh

Meniti lorong kenangan lalu
Mengenangkan butiran kata orang terdahulu
Agar insan berpegang pada tali yang Satu
Kerna itu juga ajaran Nabi dan Tuhanmu

Mudah untuk bermadah kata
Kerna lidah hanya berkata tanpa jemu bicara
Namun tiadalah aku ingin beromong tanpa makna
Hanya ingin meninggalkan pesan buat semua

Kuat pohon kerana akar yang mekar
Kuat insan kerana kesatuan yang terlakar
Lantas disebalik ukhwah itu lahirnya cinta dan kasih
Umpama akar yang mengikat hati mereka yang bersih

Alangkah indah pandangan mata ini
Melihat insan berganding bersatu hati
Memikul bebanan tanpa resah disisi
Diiringi calitan senyuman dipipi

Terasa batang diriku turut terarah pergi
Menghulur tangan mahupun diri
Terasa hati diisi wangian harmoni
Berkat muafakat yang disirami Nur Ilahi

Lalu ingatan terpaut pada Sabda Kekasih hati
Sesungguhnya kita ibarat banggunan yang berdiri
Saling berpaut rohani jasmani mahupun nurani
Kelak kukuhlah ia diatas paksi iman yang mewangi



naina

Wednesday, September 04, 2013

Aku Dia Kau & Mereka

Aku dia kau dan mereka
Kita punya wajah berbeda
Bahkan tidak pula kita berkeluarga
Apatah lagi sehati sejiwa

Namun kita punya satu Agama
Kita meniti diatas satu makna
Bukan perbedaan aku hiraukan
Apa lagi mahu aku khuatirkan

Hatiku menitis air mata siksa
Melihat akan pertelingkahan melanda
Jiwaku robek menatap kebencian disini sana
Apakah ini ungkapan persaudaraan?
Sesungguhnya ini bukan jalan yang dihiasi iman
Yang pasti inilah jalan kebinasaan

Aku merindui saat masa silam kita
Aku dia kau dan mereka sepakat sejiwa
Muafakat berganding setia, berkorban bersama
Memikul dan menjinjing dengan penuh cinta

Ruh Aidil Adha kian merekah
Bak pudarnya pelangi senja merah
Kemana resapnya kasih setia ukhwah?
Kemana ghaibnya didikan Rasulullah?

Aku menatap memerhati jauh diawangan
Memohon kepada Dia yang Penuh Kecintaan
Agar basahnya bumi ini dengan Rahmat Tuhan
Moga hati aku kau dia dan mereka kembali bertautan

Orang yang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat. – Al-Hujurat, 10


Naina

Saturday, August 10, 2013

Langkahan Kaki



Aku melihat susuran jalan
Aku melihat diriku yang berjalan
Langkahan kaki yang tercipta semalam
Terpalit seribu kealpaan dan kelemahan

Lantas ekor mataku memerhati
Jalan dihadapan yang menanti pasti
Terasa berat untukku mengorak kaki
Mengenang kekurangan yang menghantui diri

Malu mula bertandang dihati
Memikirkan akan halnya diriku sebegini
Sampai bila harusku lemah tanpa henti
Lalu cubaku memintal kejayaan yang lama pergi

Masih aku termanggu dihadapan pintu
Tidak ku temu kunci kejayaan itu
Lantas Dia mengilhamkan sesuatu
Tersenyumku dibalik Rahmat Tuhanku

Tiada kejayaan tanpa usaha sendiri
Bahkan tiada kejayaan tanpa tawakal pada Ilahi
Ku jadikan ini bekalan langkahan kaki
Terus aku mengorak tanpa kesal dihati

Diakhir jalan itu nanti
Dua kemungkinan pasti terjadi
Namun kau harus terus mengorak kaki
Kerna bukanlah kesudahan yang dilihat Ilahi
Bahkan usahamu yang tidak pernah kenal erti berhenti

# “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11)


naina

Thursday, July 25, 2013

Dihadapan Kaabah Ilahi




Berdiri dihadapan Kaabah
Lantas dirimu rebah
Ditemani tangisan lemah
Mencari dimana perginya Allah

Masih dihadapan kaabah itu
Kau mencerap derapan langkah kakimu
Terlihat palitan hitam yang dicipta masa lalu
Lakaran pena hati yang dirajai nafsu

Lalu terbit mentari Iman yang suci
Cuba mewarnai laluan hitam yang berduri
Menerangi derapan langkahan yang menanti
Hatimu kini terisi bunga cinta Ilahi

Namun diluar jangkaanmu
Dihadapanmu tersedia dua perahu
Bagai gelora taufan bertandang dilautan biru
Hatimu gundah jiwamu haru

Caturan takdirmu berubah lagi
Buntu akalmu cuba memahami
Seperti tersedar dari mimpi
Kau menyaksi keajaiban Sang Ilahi

Lalu tertunduk kau menangisi
Bagai tersesat dihutan ciptaanmu sendiri
Merangkak kau mencari petanda hati
Perahu mana harus kau layari

Sukarnya melakar pilihan hati
Lalu kepada Dia kau kembali
Mencari petanda dari yang Maha Mengetahui
Lantas Dia datang memberi erti

Kerana Dia kau menuruti kata hati
Namun ada pula lidah yang tidak mengerti
Melakar kata cemuhan dan keji
Hatimu menangis namun tidak mereka peduli

Disimpang itu kakimu lemah berdiri
Longlai kau mencipta langkah kaki
Lantaran mereka yang tidak mengerti
Disaat itu kau mencari kekuatan Ilahi

Kerna Dia sayang padamu
Kerna Dia dekat denganmu
Kerna itu Dia tetap membantumu
Memimpin tanganmu melakar bahagiamu


Kini kau berdiri pasti
Menunggu dan menghitung hari demi hari
Menoleh kau melihat lakaran takdir Ilahi
Terukir senyuman manis dihati
Akhirnya bahagia datang tidak pergi lagi
Lantas tunduk kau sujud mensyukuri tanpa henti
Kepada Dia yang setia disisi
….
21 Julai 2013 / 1.02am

*specially crafted from my heart for u adik. May Allah guide your way ahead. Indeed u have made a right decision by choosing him instead of him. And Indeed Allah guided u when u made the call. Rejoice and Rejoice!* 




Naina

  
  

Thursday, July 04, 2013

Girang Hati

Terukir riang diwajah mereka
Bermain dan menanti bersama
Walau diri penat berpuasa
Namun azam tetap membara

Penitian di titi ramadhan
Kini melalui pengakhiran
Dihadapan sana kelihatan anak bulan
Mewarnai keriangan semua golongan

Namun terdetik kesedihan dihati
Memikirkan Ramadhan yang bakal pergi
Apa mungkin bertemu kembali
Atau perginya diri menghadap Ilahi

Bertandangnya Syawal membawa berkat
Kesedihan terubat ketawa mengikat
Terjalin silaturahim sesama kerabat
Bermaaf-maafan membawa rahmat

Aidilfitri yang membawa melodi suci
Terpotret indah kejayaan hakiki
Simbolik kasih dan cinta umat ini
Pulang ke fitrah kalam Ilahi

Seusai bertandang sanak keluarga
Bertemu teman yang baru dan lama
Terjalinlah ikatan sesama manusia
Lantas ketenangan meresapi jiwa

Jika Ramadhan kita berpuasa
Kini Syawal kita beraya
Namun didalam girang bergembira

Ingatan juga pada yang tidak berpunya

naina

Monday, June 10, 2013

Kau yang Pergi..



Jauh kau berkelana pergi
Meninggalkan kami bersendiri
Pergimu menuruti Sunnah Ilahi
Apakan daya aku yang kerdil ini

Disini aku setia menanti
Menantimu dari hari ke hari
Apa kita bisa bertaut kembali
Atau takdirnya aku pergi ke Rahmat Ilahi

Khabarnya kau bakal kembali
Teriring bersamamu Nur Abadi
Melodi hatiku girang menyanyi
Lagu syukur dan rindu padamu Rabbi

Namun aku terfikir sendiri
Apa sudah ku bersedia kendiri
Apakah kedatanganmu bakal dirai
Atau aku seperti aku yang dulu lagi

Sungguh kau hadiah Istimewa buat kami
Namun apa aku bisa menghargai
Atau sekadar meriah dilidah bukan dihati
Lantas malu datang berziarah diri

Sungguh aku manusia yang rugi
Jika gagalku menjadi Hamba Rabbani
Sepanjang latihan bersamamu nanti
Tuhan, ku mohonkan kekuatan rohani jasmani

Wahai kau yang bernama Suci
Bertamulah bersama cinta Rabbi
Kerna aku sentiasa menanti
Merindui saat-saat kita bersatu hati

Kalam Cinta Ilahi
Turun indah didalam Bulan Suci ini
Dialah Ramadhan yang sentiasa dirindui
Kemarilah kau, jangan kau pergi

naina